Buletin Terkini


ISLAMABAD 12 Dis. - Pakistan telah menamatkan operasi tenteranya di Waziristan Selatan bagi memburu militan Taliban, dan akan meneruskan usaha menghapuskan militan di wilayah puak Orakzai, terletak jauh di utara negara ini.

"Operasi di Waziristan Selatan telah ditamatkan. Kini kita akan bercakap tentang Orakzai,'' kata Gilani kepada pemberita dari timur bandar Lahore, namun beliau tidak memberikan maklumat lanjut.

Tentera Pakistan melancarkan serangan darat ke atas militan Taliban di Waziristan Selatan pada pertengahan Oktober lalu yang mencetuskan tindakan balas daripada kumpulan militan yang melakukan lebih banyak serangan bom ke atas kemudahan strategik di Pakistan termasuk balai polis dan bangunan-bangunan kerajaan di seluruh negara ini.

Sebanyak 30,000 tentera Pakistan terlibat dalam operasi ketenteraan di Waziristan Selatan dan ramai militan dipercayai lari ke kawasan kabilah lain terutamanya di Waziristan Utara dan Orakzai. - AP




Kos baru untuk kenderaan lama - Hampir dua juta kenderaan lama wajib jalani pemeriksaan Puspakom


KUALA LUMPUR - Berkuat kuasa 1 Januari 2010, semua kenderaan persendirian berusia 15 tahun atau lebih diwajibkan menjalani pemeriksaan komprehensif tahunan ekoran kajian semula Dasar Automotif Nasional (DAN) yang diumumkan semalam.

Ia mensyaratkan kelulusan daripada Puspakom Sdn. Bhd. sebelum pemilik boleh memperbaharui cukai jalan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata, tindakan tersebut adalah langkah awal pelaksanaan sepenuhnya Dasar Tempoh Jangka Hayat (ELV).

Menurut beliau, pelan ELV akan dirangka oleh Kementerian Pengangkutan.

Apabila dilaksanakan kelak, ia dijangka membabitkan hampir dua juta kenderaan yang berusia lebih 15 tahun.
Mengikut rekod Jabatan Pengangkutan Jalan, jumlah kenderaan persendirian yang berdaftar dan berusia 10 tahun ke atas ialah sebanyak 2.7 juta buah.

"Kita telah berunding dengan pelbagai pihak dalam industri automotif sebelum menguatkuasakan peraturan ini," katanya pada sidang media yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Tan Sri Abdul Rahman Mamat semalam.

Sumber : Kosmo Online

 13 tahun defisit, BN lemah urus ekonomi- Anwar

Azamin Amin


KUALA LUMPUR, 26 Okt: Masalah defisit sebenarnya berpunca dari kegagalan BN yang mengurus ekonomi untuk menganjakkan negara dan rakyat ke arah ekonomi tambah nilai sehingga menjejaskan pendapatan negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelbagai langkah dan peruntukkan diumumkan oleh kerajaan untuk memacu ekonomi mencapai tahap maju seperti Singapura, Korea Selatan namun malangnya, statistik terus menunjukkan kemerosotan pendapatan yang secara langsung menyumbang kepada masalah defisit.

Walaupun belanjawan defisit kali ini lebih kecil daripada yang dijangkakan tetapi banyak lagi belajwan-belanjawan tambahan, pakej rangsangan, perbelanjaan off-budget dan sebagainya akan dibentangkan sepanjang tahun 2010 menyebabkan defisit akan terus meningkat.

"Adakah benar kerajaan berbelanja defisit kerana kebajikan rakyat didahulukan atau kelemahan dalam pengurusan ekonomi pimpinan kerajaan sekarang.

"13 tahun berturut-turut kerajaan membentang belanjawan deficit baik dalam keadaan harga petroleum dan komoditi melambung tinggi, ekonomi mengalami pertumbuhan pesat apatah lagi dalam keadaan kemelesetan ekonomi," katanya sewaktu perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 tengah hari tadi di Dewan Rakyat.

Akibatnya kata Anwar hutang negara meningkat 18.3 peratus daripada RM306.4 billion pada tahun 2008 kepada RM362.5 billion tahun 2009.

Katanya lagi keutamaan dalam pembangunan ekonomi jauh tersimpang di mana kerajaan memberi keutamaaan yang berlebihan kepada pembangunan infrastruktur awam dan mengabaikan keperluan infrastruktur sosial dan teknikal seperti peningkatan kualiti sumber manusia, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, pencegahan jenayah dan sebagainya.

"Rasional ekonomi kerajaan BN berlandaskan Ekonomi Naungan (Patronage Economy)


"Pembinaan projek-projek dan infrastruktur awam mega merupakan jalan paling mudah dan cepat mengagih habuan kepada konco-konco politik dan kontraktor-kontraktor Umno-BN. Ini membantut penyediaan iklim persaingan yang sihat dalam ekonomi," katanya.

Selain itu, Anwar turut menyentuh kelemahan yang menjejas daya saing Negara perlu diperbaiki seperti pencegahan jenayah, sistem perundangan dan kawalan pelaburan bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan yang telah banyak ditawar oleh Negara-negara lain.

Sebelum itu, beliau turut merujuk laporan World Competitiveness Report 2009/2010 yang dikeluarkan oleh The World Economic Forum (WEF) di mana Malaysia jatuh dari tangga 21 kepada 24 kerana kelemahan dalam perundangan manakala pentadbiran yang jatuh dari tangga 17 kepada 43 dalam masa 2 tahun.

" Selain itu peningkatan kadar jenayah, saiz belanjawan defisit dan kelemahan dalam sistem penyampaian yang sudah ketinggalan menjadi kebimbangan juga.

"Pelabur menjadikan laporan ini sebagai panduan dalam menentu tempat mereka melabur. Lebih baik ranking Negara lebih menarik kita kepada pelabur," katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Dalam perbahasannya juga, Anwar turut membangkit persoalan kemerosotan keselamatan dan peningkatan jenayah di bandar yang bukan hanya disebabkan kemajuan dan pembangunan ekonomi tetapi juga masalah kemiskinan dan ketidaksaksamaan dalam pengagihan kekayaan negara.

Perancangan ekonomi mesti diperbaiki dengan mengolah polisi bagi memasti keadilan sosial berlaku untuk semua kaum, katanya.

Katanya lagi ekonomi yang berkembang pesat mengundang amalan kecurian dan penipuan seperti yang disaksikan dalam skandal WorlddotCom, Enron dan sebagainya hasil pertumbuhan pesat ekonomi Amerika Syarikat.

"Tidak kurang juga dengan apa yang berlaku dalam Negara seperti skandal Timedotcom, PKFZ, Perwaja dan banyak lagi yang masih dilindungi dan ditutup oleh pihak berkuasa. 

"Tidak ada bezanya kecurian dan penipuan yang berlaku disini cuma penguatkuasa sibuk dengan bagaimana dokumen kerajaan boleh terdedah daripada menyiasat penyelewengan yang berlaku atau bagaimana bendera dibeli dengan harga RM2800 daripada menyiasat perbelanjaan peruntukan setahun dalam masa 2 bulan oleh YB-YB dulu, " katanya secara sinis.


7 terbunuh, rumah tamu PBB di Kabul diserang 

KABUL: Sekumpulan lelaki bersenjata menyerang rumah tamu yang digunakan kakitangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di ibu kota Afghanistan, Kabul awal hari ini, membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang termasuk tiga kakitangan PBB, kata pegawai rasmi negara itu.

Jurucakap Taliban, mendakwa pihaknya bertanggungjawab dan berkata, ia bertujuan untuk menyerang pilihan raya presiden akan datang.

Serangan senjata api yang berterusan tercetus di sepanjang jalan sejurus selepas subuh dan kepulan asap yang besar di atas bandar itu susulan serangan di daerah Shar-e-Naw.

Ketua Polis Kabul, Abdul Rahman berkata, tujuh yang terbunuh itu termasuk daripada kumpulan penyerang.

Jurucakap PBB, Adrian Edwards, mengesahkan tiga kakitangannya adalah antara yang terbunuh dan seorang disahkan cedera teruk.

Beliau berkata, 20 kakitangan PBB difahamkan mendaftar di sana tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada kesemua mereka berada di rumah itu ketika kejadian. - AP


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil daripada yuran kad dan cukai keuntungan hartanah yang diperkenalkan semula, jauh melebihi kebajikan yang diagihkan kepada rakyat melalui potongan dan pengecualian cukai.

Dalam Bajet 2010, kerajaan mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan individu dari 27 peratus kepada 26 peratus selain menaikkan pelepasan cukai daripada RM8,000 kepada RM9,000, pelepasan dalam bayaran yuran internet, pembelian komputer, kenaikan pelepasan caruman KWSP dan sebagainya.

Berucap membahaskan bajet tersebut di Dewan Rakyat hari ini, Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, secara kasarnya rakyat menikmati peruntukan kebajikan dalam bentuk pengecualian dan pelepasan cukai hanya dalam lingkungan RM500 juta.

"Walaubagaimanapun kerajaan mengenakan bayaran RM50 untuk kad kredit utama dan RM25 untuk kad tambahan. Dianggarkan kerajaan akan memperolehi pendapatan lebih daripada RM400 juta daripada yuran kad-kad ini yang keluar daripada poket rakyat.

"Ini tidak termasuk lagi cukai keuntungan hartanah sebanyak 5 peratus yang diperkenalkan semula. Hasil daripada yuran kad dan cukai keuntungan hartanah ini jauh melebihi kebajikan yang diagihkan kepada rakyat melalui potongan dan pengecualian cukai," tambahnya.

Sehubungan itu, Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh bertanya adakah benar bajet ini berkebajikan kepada rakyat.

"Apa yang berlaku, ia bertentangan dengan usaha kerajaan untuk meneruskan agenda ekonomi berasaskan kreativiti, inovasi dan nilai ditambah tinggi. Poket rakyat makin kosong dan kuasa membeli merosot.

"Bagaimana kerajaan akan menjana permintaan dan penggunaan domestik untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dalaman sekiranya kuasa membeli rakyat merosot sedangkan pelaburan langsung asing terus merundum dengan teruk," tegas Anwar.

Katanya, jumlah kebajikan untuk rakyat terlalu kecil jika dibandingkan dengan subsidi yang diterima oleh syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) atau syarikat-syarikat pemegang konsesi seperti tol, AP dan sebagainya.

"Dalam laporan kewangan PETRONAS syarikat-syarikat konsesi IPP menikmati subsidi gas sebanyak RM20 bilion pada tahun 2008 dan bertambah kepada RM22 bilion tahun 2009.

"Siapa yang menikmati kebajikan yang sebenarnya? Rakyat atau syarikat pemegang konsesi? Bayangkan jika subsidi ini diagihkan kepada rakyat. Setiap rakyat Malaysia akan mendapat lebih kurang RM815 seorang.

"Bagaimana pula dengan kehilangan berbilion ringgit hasil penyelewengan, rasuah, pembaziran dan sebagainya? Skandal demi skandal terbongkar yang melibatkan puluhan billion ringgit daripada hasil cukai yang di bayar oleh rakyat? PKFZ, Perwaja, scorpene dan sebagainya. Kebajikan rakyat diutamakan?" soalnya.

Berikut adalah sedutan ucapan perbahasan Anwar:

Belanjawan tahunan merupakan polisi jangka pendek kerajaan. Selalu nya apa yang bentangkan Jumaat lepas akan dilupakan dan tidak diikuti sehingga belanjawan baru dibentangkan pula.

YAB Perdana Menteri mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan individu dari 27% kepada 26% bagi memasti kadar cukai pendapatan individu kekal berdaya saing serta meneruskan agenda ekonomi berasaskan kreativiti, inovasi dan nilai tambah tinggi menurut beliau. Selain itu kerajaan menaikkan pelepasan cukai daripada rm8 ribu kepada rm9 ribu, pelepasan dalam bayaran yuran internet, pembelian komputer, kenaikan pelepasan caruman KWSP dan sebagainya.

Secara kasarnya rakyat menikmati peruntukan kebajikan dalam bentuk pengecualian dan pelepasan cukai hanya dalam lingkungan RM500 juta.

Walaubagaimana pun kerajaan mengenakan bayaran RM50 untuk kad kredit utama dan RM25 untuk kad tambahan. Dianggarkan kerajaan akan memperolehi pendapatan lebih daripada RM400 juta daripada yuran kad-kad ini yang keluar daripada kocek rakyat. Ini tidak termasuk cukai keuntungan hartanah sebanyak 5% yang diperkenalkan semula. Hasil daripada yuran kad dan cukai keuntungan hartanah ini jauh melebihi kebajikan yang diagihkan kepada rakyat melalui potongan dan pengecualian cukai.

Adakah benar bajet ini berkebajikan kepada rakyat? Apa yang berlaku ia bertentangan dengan usaha kerajaan untuk meneruskan agenda ekonomi berasaskan kreativiti, inovasi dan nilai ditambah tinggi. Kuasa membeli rakyat merosot. Bagaimana kerajaan akan menjana permintaan dan penggunaan tempatan untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dalaman sekiranya kuasa membeli rakyat merosot sedangkan pelaburan langsung asing terus merundum dengan teruk. Negara hanya mencatat kemasukan pelaburan langsung asing sebanyak RM3.6 billion berbanding RM19.7 billion tahun lepas?

Jumlah kebajikan untuk rakyat terlalu kecil jika dibandingkan dengan subsidi yang diterima oleh syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) atau syarikat-syarikat pemegang konsesi seperti tol, AP dan sebagainya.

Dalam laporan kewangan PETRONAS syarikat-syarikat konsesi IPP menikmati subsidi gas sebanyak RM20 billion pada tahun 2008 dan bertambah kepada RM22 billion tahun 2009. Siapa yang menikmati kebajikan yang sebenarnya? RAKYAT ATAU SYARIKAT PEMEGANG KONSESI? Bayangkan jika subsidi ini diagihkan kepada rakyat. Setiap rakyat Malaysia akan mendapat lebih kurang RM815 seorang.

Pengurusan ekonomi lemah - defisit 13 tahun berturut-turut

Walaupun belanjawan defisit kali ini lebih kecil daripada yang dijangkakan tetapi perlu diingatkan banyak lagi belanjwan-belanjawan tambahan, pakej rangsangan, perbelanjaan "off-budget" dan sebagainya akan dibentangkan sepanjang tahun 2010. Maka defisit akan terus meningkat.

Adakah benar kerajaan berbelanja defisit kerana "kebajikan rakyat didahulukan" atau kelemahan dalam pengurusan ekonomi pimpinan kerajaan sekarang. 13 tahun berturut-turut kerajaan membentangkan belanjawan defisit baik dalam keadaan harga petroleum dan komoditi melambong tinggi.

Akibatnya hutang Negara meningkat 18.3% daripada RM306.4 billion pada tahun 2008 kepada RM362.5 billion tahun 2009. Sejak 2006 hutang Negara meningkat 49.7% daripada RM242.2 billion. Dalam masa yang sama peratusan hutang Negara dengan KDNK meningkat 41.5% pada tahun 2008 kepada 52.4% tahun 2009.

Pelbagai langkah dan peruntukan diumumkan untuk memacu ekonomi standing dengan ekonomi nilai tinggi seperti negara Singapura, Korea Selatan dan sebagainya. Malangnya, statistik terus menunjukkan kemerosotan pendapatan yang secara langsung menyumbang kepada masalah defisit.

Keutamaan dalam pembangunan ekonomi jauh menyimpang. Kerajaan memberi keutamaaan yang berlebihan kepada pembangunan infrastruktur awam (public hardware infrastructure) dan mengabaikan keperluan infrastruktur social dan teknikal. Pembangunan infrastruktur teknikal dan sosial termasuk pembangunan dalam peningkatan kualiti sumber manusia, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, pencegahan jenayah dan sebagainya.

Kerajaan tidak upaya melonjak ekonomi ke tahap yang boleh menggandakan penjanaan pendapatan - iaitu ekonomi tambah nilai kerana terlalu bergantung kepada komoditi, petroleum, pembuatan dan perkilangan yang mana kita tidak mempunyai kelebihan lagi dari segi kos efisiensi berbanding negara-negara membangun lain.

Kerajaan hilang daya kreatif dan inovatif untuk menambah pendapatan Negara kerana terlalu bergantung kepada pendapatan industri petroleum. Bagaimana kerajaan dapat membimbing rakyat agar berdaya kreatif dan inovatif untuk meningkat kepada berpendapatan tinggi?

Kebergantungan kepada pendapatan industri petroleum

Bagi tahun 2008; kerajaan memperuntukkan RM177 billion yang mana RM74 billion (42%) disumbang oleh PETRONAS. Ini tidak termasuk hasil dari syarikat-syarikat industri petroleum lain. Sekiranya diambil kira dianggarkan pendapatan daripada industri petroleum mencecah lebih 60%.

Bayaran yang dibuat oleh PETRONAS kepada kerajaan meningkat dua kali ganda dari tahun 2005 hingga 2009; sedangkan rizab petroleum dan gas kita tidak banyak berubah dan kos operasi meningkat 3 kali ganda dalam tempoh yang sama.

Dalam tahun 2006, pecahan pungutan cukai langsung kerajaan adalah pada nisbah 46 % cukai syarikat, 32% cukai petroleum dan 15% cukai individu. Kerajaan tidak mengumumkan pecahan pendapatan cukai yang dijangka dalam tahun 2010, tetapi jangkaan umum adalah cukai petroleum sudah melebihi sumbangan cukai syarikat; yang menimbulkan tanda tanya tentang daya saing ekonomi kita yang terlalu bergantung kepada industri petroleum.

Dianggarkan hanya 2 juta dari 11 juta tenaga kerja di negara ini membayar cukai. Dari jumlah tersebut, dianggarkan hanya 10,000 pembayar cukai adalah pembayar cukai kadar tertinggi (highest tax rate payer); menggambarkan hanya 10,000 orang di Malaysia mendapat pendapatan lebih dari RM250,000 setahun. Ini melambangkan kegagalan BN melonjakkan ekonomi ke tahap lebih tinggi, sehingga tenaga kerja kita masih berkisar kepada kerja-kerja yang tidak mendapat pulangan tinggi - secara langsung menjejaskan pendapatan negara.

Sebelum cukai dinaikkan amat kritikal kerajaan menilai semula kewajaran penganugerahan konsesi tol, IPP, permit impot atau AP kepada perusahaan otomobil dan segala lesen dan permit yang diniagakan diatas dan bawah kaunter untuk mengaut keuntungan tanpa apa-apa pertimbangan yang amat membebankan pengguna.

Kerajaan perlu meneliti bajet dan menghapus pembaziran dan kebocoran. Secara teori kita dapat menyelamat sekurang-kurangnya 10% daripada belanjawan tanpa mengorban prestasi kerja dan penjimatan sedemikian dapat digunakan untuk mengurang defisit belanjawan.
Wujudkan sistem cukai progresif

Kita perlu peka dan prihatin kepada masalah jurang pendapatan rakyat di Negara ini. Kita sedia maklum jurang kemiskinan yang wujud di antara negeri-negeri, di bandar dan desa - malah, wujud juga jurang yang besar di antara tenaga kerja di negara ini.

Anggaran yang dilaporkan sebelum ini ada menyebut bahawa jumlah pembayar cukai kadar tertinggi di negara ini tidak pun mencecah satu peratus dari jumlah keseluruhan pembayar cukai.

Pelepasan-pelepasan cukai yang diumumkan dalam belanjawan 2010 sebenarnya tidak mengmbil kira jurang pendapatan yang wujud di kalangan tenaga kerja kita.

Pada masa kini, seorang pembayar cukai akan membayar kadar tertinggi apabila pendapatan beliau mencecah RM100,000 setiap tahun.

Dalam keadaan ekonomi semasa, golongan professional pertengahan juga akan masuk di dalam kategori ini; walaupun pendapatan mereka adalah jauh lebih rendah daripada mereka yang mencecah RM500,000 atau RM1 juta setahun.

Adalah lebih adil dan berkebajikan jika kita mengiktiraf jurang pendapatan yang wujud ini - maka sistem cukai individu kita perlu lebih progresif.

Saya cadangkan agar satu kategori pendapatan tertinggi yang baru diperkenalkan untuk membezakan di antara mereka yang berpendapatan tertinggi dan golongan professional kelas pertengahan.

Persaingan ekonomi dan meningkatkan daya saing

Kemurungan yang melanda ekonomi sejagat tampaknya tidaklah sebegitu tenat lagi. Namun keadaan sesungguhnya tidak menentu. Tidak siapa mampu menjangka keadaan yang mendatang. Esok, secara-cara tiba, ekonomi, boleh sahaja merudum dan mendung yang disangka berarak pergi, mulai datang menyelubungi lalu menimbulkan kekusutan kepada rakyat.

Panjanglah rumput di permatang
Di sabit orang di Inderagiri
Ku sangka panas sampai ke petang
Kiranya hujan di tengahari


Menurut laporan "World Competitiveness Report 2009/2010" yang dikeluarkan oleh "The World Economic Forum (WEF)" Malaysia jatuh dari tangga 21 kepada 24 kerana kelemahan dalam kerangka peraturan baik perundangan maupun pentadbiran yang jatuh dari tangga 17 kepada 43 dalam masa 2 tahun.

Kelemahan yang menjejas daya saing negara perlu diperbaiki seperti pencegahan jenayah, sistem perundangan dan kawalan pelaburan, penyelidikan dan pembangunan, infrastruktur era ekonomi baru seperti internet dan sebagainya bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan yang telah banyak ditawar oleh Negara-negara lain.

Perubahan ataupun al Islah ini merupakan istilah yang membawa maksud memperbaiki dari kerosakan serta mencegah kebejatan dari berlaku. Tafsir al Kabir melanjutkan penjelasan dengan mempertanggungjawabkan pemerintah dan kerajaan itu melakukan usaha sedaya upaya mencegah kemudaratan. Kesejahteraan rakyat haruslah menjadi keutamaan. Para mufasirin seperti Imam Fakhr al Din al Razi dan Ibnu Katsir bersetuju antara dari pengertian melaksanakan Islah ini adalah memenangkan Keadilan dan mengalahkan kezaliman.

Ibnu Khaldun, ilmuwan abad ke 14, di dalam karya Mukaddimah nya mengungkapkan sebuah pentadbiran dan kerajaan yang dikenal sebagai Wajhul Hikmah. Kerajaan yang mengambil berat kebajikan serta kesejahteraan rakyat nya. Yang mentadbirnya adalah di kalangan mereka yang jujur dan amanah

Sekiranya benar maka kita perlu perbaiki sekarang termasuk menggugur sebahagian dasar dan polisi yang telah usang dan tidak lagi berkesan kerana perubahan persekitaran persaingan. Dasar baru perlu diperkenalkan untuk berhadapan dengan cabaran perubahan ekonomi sejagat untuk terus kehadapan berbanding dengan negara-negara lain yang semakin sengit bersaing.

Dalam kita mengejar kedudukan ranking kita perlu mengimbangi pembangunan diantara semua kaum. Ini sedikit sebanyak menjejas daya saing dan kecekapan pengurusan ekonomi Negara. Saya berpuas hati sekiranya kita dapat mencapai kedudukan ke 18 atau 19 dalam masa terdekat dan terus memperbaiki kedudukan apabila kita berupaya menyesuai kelemahan dan kesempitan aliran atau "bottleneck" dalam pengurusan ekonomi.

Kedudukan yang tinggi dalam daya saing dan efisiensi Negara samaada dapat dicapai atau tidak ditentukan oleh tahap persediaan Negara membiar kuasa pasaran berperanan menentukan aliran peruntukkan dan pengagihan sumber kekayaan Negara dengan campurtangan kerajaan yang minima melalui dasar, polisi, pentadbiran, undang-undang dan peraturan.

Ekonomi yang berdaya saing tinggi difahami berpengetahuan dalam pengurusan sumber dan sumber yang berkurangan. Dengan cara ini pertumbuhan ekonomi dapat dicorak dan dipertahan untuk menjana Pendapatan Negara Kasar yang tinggi. Dalam Negara penduduk yang serumpun teori ini boleh digunapakai tetapi amat sukar dalam masyarakat berbilang kaum yang berbeza aspirasi dan kedudukan ekonomi.

Indeks daya saing dan kecekapan global merupakan panduan penting untuk pelabur antarabangsa memutus tempat pelaburan. Negara yang ingin menarik pelaburan langsung sudah tentunya akan menyediakan iklim yang menarik dan berdaya saing untuk menawan mereka.

Buat masa ini jenis ekonomi yang efisien dan berdaya saing tinggi tanpa campurtangan kerajaan tidak sesusai untuk Negara tetapi mungkin akan menjadi kenyataan dalam dua tiga dekad lagi sekiranya kita meletakkan batu asas yang kukuh kearah itu dan dalam masa yang sama menyelesai masaalah kemiskinan dan merapatkan jurang perbezaan diantara yang kaya dan miskin.

Kita perlu mengkaji dasar yang diolah untuk memaju dan menyusun ekonomi berdasar pemilikan dan penglibatan berlandaskan kaum dalam ekonomi. Barangan dan perkhidmatan social dan ekonomi sepatutnya boleh digunakan oleh semua tanpa mengira kaum tetapi mereka yang mempamer kebolehan dan kesungguhan untuk terlibat perlu dibantu kerajaan. Bantuan jangan sekali-kali disediakan berdasar kedudukan social, kuasa politik penerima. Penglibatan dalam ekonomi mesti berdasar merit, keupayaan dan iltizam keusahawanan. Mengambil kira dasar ini bantuan mereka yang tidak bernasib baik mesti diolah dengan cara yang tidak membantut daya saing Negara.

Atas dasar itu sedang kita perlu kepada ekonomi yang berdaya saing tinggi dan cekap kita juga perlu mengimbangi tuntutan dan keperluan golongan yang memerlu bantuan dan perlindungan kerana kedudukan ekonomi mereka hasil daripada dasar yang diolah untuk mencapai ekonomi daya saing tinggi dan cekap. Pendekatan yang seimbang diantara keperluan persaingan dan keperluan membantu mereka yang terpinggir amat penting dalam ekonomi Negara untuk membina masa depan yang berjaya.

Pelaburan langsung asing

Pelaburan Langsung Asing atau FDI amat sensitive kepada ukuran keyakinan dalam ekonomi. Tertarik atau tidak mereka ke sesebuah Negara membuktikan keyakinan kepada kestabilan dan persaingan sesebuah ekonomi untuk mereka melabur. Pelaburan langsung asing merosot dengan begitu ketara dua tiga tahun yang lepas kedalam negara. Negara hanya mencatat kemasukan pelaburan langsung asing sebanyak USD7.3 billion tahun tahun 2008 berbanding dengan Indonesia USD 7.92 billion dan Vietnam USD 8.05 billion, Thailand USD 9.83 billion, Singapura USD22.8 billion. Tahun ini Negara hanya mencatat USD1 billion sahaja kemasukan FDI

Ada banyak sebab kemerosotan FDI yang begitu ketara sekali. Ada beberapa polisi yang menjadi batu penghalang kepada kemasukkan pelaburan langsung asing. UNTAD (United Nation Trade And Development) melaporkan Malaysia hanya berjaya menarik 2.6% sahaja daripada FDI pada tahun 2007 berbanding sekitar 8% pada pertengahna tahun 90an dan lebih daripada 10% pada tahun 80-an.

Negara perlu kepada strategi baru untuk menarik pelaburan langsung asing baik dalam tarikan pelaburan maupun mengintergrasi pembangunan dengan ekonomi serantau yang pesat membangun seperti Thailand, Vietnam, Indonesia, India dan Cina yang mempunyai pasaran yang jauh lebih besar daripada Malaysia. Ini bergantung kepada kedudukan modal insane negara yang menjadi isu besar negara.

Baru-baru ini Kerajaan telah menghapus beberapa polisi yang menjadi penghalang kepada kemasukan pelaburan langsung asing dan jika diperlukan mempercepatkan lagi proses meliberisasi ekonomi. Kerajaan perlu menghapus polisi dan peraturan pentadbiran yang mengekang usaha kearah kebebasan pasaran.

Hakikatnya kerajaan tidak lagi berupaya mempengaruhi pembangunan dalam semua sector ekonomi untuk mencapai objektif social. Dalam konteks liberisasi pun kerajaan masih boleh menyedia pelbagai insentif untuk penglibatan golongan tertentu seperti menyedia kemudahan kredit daripada institusi kewangan dan sebagainya. Begitu banyak cara untuk membantu golongan kurang bernasib baik yang tidak membantut aliran bebas pelaburan dalam ekonomi. Melalui liberisasi ekonomi akan mempercepat pengaliran masuk pelaburan dan teknologi dalam ekonomi.

Kita perlu pelaburan asing bukan sahaja untuk mengurang beban kewangan kerajaan dalam pembangunan ekonomi tetapi juga teknologi baru yang dibawa bersama. Perusahaan tempatan tidak melabur dalam penyelidikan dan pembangunan menyebabkan Negara tidak berdaya dalam rekacipta untuk pengeluaran barangan dan perkhidmatan generasi baru untuk keperluan era baru ekonomi global.

Kerajaan, Universiti dan pusat-pusat penyelidikan tidak menyesuai atau berorientasi dibawah rancangan komprehensif dan bermakna dalam menyalur hasil penyelidikan dan pembangunan untuk menghasil barangan dan perkhidmaan yang diperlukan oleh ekonomi global. Ketiadaan factor teknologi dalam ekonomi Negara akan membantut usaha kerajaan untuk melonjak taraf ekonomi dibawah model baru ekonomi.

Kualiti internet tercorot
Internet merupakan penggerak utama kepada perusahaan berpendapatan tinggi. Tanpa kualiti internet yang baik perusahaan yang kreatif dan inovatif tidak dapat beroperasi dengan cekap.

Di kalangan Negara-negara Asia, Singapura, Taiwan dan Hongkong berada pada tahap selesa memenuhi keperluan aplikasi hari ini sementara Korea dan Jepun sudah berada dalam masa depan.

Negara-negara yang di kenal pasti sudah bersedia untuk masa depan termasuk Korea, Jepun, Sweden, Lithuania, Bulgaria, Latvia, Belanda, Denmark dan Romania dengan kelajuan melebihi 11.25 Mbps dan "upload" 1 Mbps.

Keselamatan dan jenayah

Peningkatan kadar jenayah menjejas kedudukan ranking persaingan dan efisiensi Negara. Sebahagian masyarakat menghadapi kesulitan untuk menyesuai dengan kemodenan dan kemajuan ekonomi. Mereka terpaksa berpindah randah untuk memberi ruang kepada pembangunan kerana tanah mereka diambil sedangkan mereka tidak berupaya memiliki rumah dalam kawasan yang dibangunkan. Ramai dikalangan mereka tidak mempunyai atau berpeluang mendapat pendidikan tinggi dan terpaksa berkerja diperingkat bawahan atau buruh dengan gaji yang rendah.

Sebahagian daripada mereka mewajar tindakan dan kelakuan mereka walaupun kejam kerana mempercayai tidak ada bezanya dengan pengusaha yang mengaut keuntungan melampau dengan menindas pekerja tanpa mengira kesusahan atau keperitan orang ramai atau penguatkuasa yang memeras, mengugut, mengambil rasuah dan malah membunuh untuk mendapat habuan daripada orang yang sepatutnya mereka lindungi. Perbezaannya hanya cara sahaja.

Saya ingin menekankan kemerosotan keselamatan dan peningkatan jenayah di Bandar bukan hanya disebabkan kemajuan dan pembangunan ekonomi tetapi juga masaalah kemiskinan dan ketidaksaksamaan dalam pengagihan kekayaan negara. Perancangan ekonomi mesti diperbaiki dengan mengolah polisi bagi memasti keadilan social berlaku untuk semua kaum.

Saya menyokong segala usaha untuk meningkat keamanan Negara. Negara amat perlu memoden dan memperlengkap pasukan polis dengan teknologi, teknik penyiasatan dan pengesanan terkini serta pasukan yang berdedikasi untuk mengawal walaupun dalam keadaan darurat. Negara perlu menggunakan technology, kelengkapan dan kemahiran moden untuk menyusun semula kawalan terutama dalam kecurian, rompakan dan keganasan berkaitan dengannya.

Pendidikan

Indeks Pembangunan Insan (Human Development Index) yang dikeluarkan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan Malaysia jatuh dari kedudukan 63 kepada 66. Ini menunjukkan Negara-negara lain telah lebih kehadapan dalam pembangunan insane. Gini Coeffient juga menunjukkan Malaysia merupakan Negara yang paling tinggi jurang diantara yang kaya dan miskin di rantau ini. Perlu diberi perhatian bahawa kadar celik huruf dewasa di Malaysia ialah 91.2%, Indonesia 92% serta Georgia ialah 100%!

Pendidikan menjadi kelemahan dalam daya saing Negara dan mungkin menjadi rintangan paling besar untuk pertumbuhan dan kejayaan masa depan ekonomi Negara. Kita telah mengabai fahaman tradisi bahawa prasyarat asas pembangunan modal insane untuk pertumbuhan ekonomi dan kejayaan masa depan dicapai hanya melalui penyediaan sistem pendidikan bertaraf dunia pertama.

Tidak ada satu pun universiti dalam negara menduduki tangga 100 malah 200 universiti terbaik dunia sedangkan sudah banyak universiti-universiti di Asia terutama dari Hongkong, China , Jepun, Singapura, Korea, Taiwan dan malah Thailand berjaya menduduki dalam kumpulan university terbaik dunia. Peningkatan kualiti pendidikan mereka jauh lebih maju dan kehadapan berbanding dengan system pendidikan kita.

Menurut kedudukan university-universiti terbaik Asia yang dinilai oleh QS Top Universities, 2 buah universiti dari Thailand iaitu University Mahidol menduduki tangga ke 30 dan Chulalongkong ke 35 berbanding dengan university terbaik negara iaitu Universiti Malaya yang hanya berjaya menduduki tangga ke 39. University of Hong Kong yang sama taraf dengan University Malaya satu ketika dahulu menduduki tangga no 1 sementara National University of Singapore tangga 10.

Penekanan kepada sains, teknologi serta sains asas seperti physics, kimia dan kejuruteraan di universiti-universiti tempatan terlalu kurang dan lemah sedangkan kita perlu mengorientasi Negara menceburi dalam era ekonomi global baru. Kita hanya berjaya mengeluarkan modal insan yang mampu menyelenggara ekonomi masa kini tetapi tidak berupaya memacu ekonomi dimasa hadapan. Kita masih bertelagah mengenai penggunaan bahasa untuk pelajar daripada memikir penguasaan matapelajaran sains dan teknologi untuk memacu Negara kehadapan.

Sistem pendidikan yang baik menjana modal insan yang berupaya mengeluar kemahiran berdaya kreatif, inovatif yang sentiasa mencipta barangan dan perkhidmatan baru untuk pasaran tempatan dan global. Tanpa modal insan yang berdaya kita tidak berupaya memacu ekonomi ke tahap sekarang dan tidak boleh mengolah model baru ekonomi yang digambarkan oleh kerajaan yang berdaya menimba, melibat dan menyumbang kepada ekonomi global.

Mana-mana pakar ekonomi bersetuju sudah terdapat jurang yang begitu luas dan tidak dapat diperbaiki lagi dalam dekad depan dari semua sudut kualiti modal insan yang diperlukan sekarang dan masa depan sekiranya kita terus mengabai system pendidikan negara. Modal insan berkualiti tinggi agak sukar diperolehi dalam Negara sekarang.

Perubahan radikal diperlukan dalam system pendidikan Negara. Kita mesti mengeluar pelajar berkualiti, pemikir yang dapat bertindak secara bebas, berfikir secara berlainan dan inovatif serta mahir berkomunikasi dalam pelbagai bahasa. Pelajar2 ini mesti perolehi pengetahuan teknikal, kejuruteraan, matermatiks dan kemahiran amali terkini serta berupaya merancang dan membantu yang lain dalam perusahaan masa depan. Melainkan kita merubah system pendidikan Negara yang sudah jauh ketinggalan, daya saing Negara akan terus merosot dan harapan untuk menjadi sebuah Negara maju tidak akan tercapai.

Negara juga sedang mengalami pengaliran keluar pakar-pakar atau "brain drain" kerana mereka yang pintar dan berbakat tidak lagi melihat Negara sebagai tempat berpeluang untuk maju dalam ekonomi Negara dan ini digalakkan oleh ibubapa dan rakan-rakan dalam mengejar cita-cita dan kekayaan. Kita kehilangan mereka yang berbakat sekiranya daya kreatif dan kemahiran teknikal tidak diperguna dan diperlukan dalam ekonomi sekarang. Tidak ada motivasi untuk mereka merekacipta barangan dan perkhidmatan baru sekiranya Negara sendiri tidak ada kelebihan teknologi untuk digunakan dalam menggarap daya kreatif mereka. Mereka akan pergi ke destinasi lain yang lebih mencabar.


Nik Abdul Aziz menamakan tiga pemimpin yang perlu 'dibersihkan' iaitu Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, beliau sudah cukup arif untuk membuat pertimbangan sendiri dan yakin cadangan itu jika diterima tidak akan memecah-belahkan Pas.

''Saya dah tua, tak payah orang lain jadi dalang."

Saya nak jaga parti saya supaya dihormati sampai bila-bila," katanya ketika diminta mengulas desas-desus ekoran kenyataannya itu. Beliau menegaskan tiada sebab baginya untuk menarik balik kenyataan yang mengejutkan itu kerana menganggap ia suatu yang benar.

'Jika ramai yang tak setuju Muktamar Agung Khas (EGM) tak apa... saya keluarkan fikiran saya, kalau setuju, Alhamdulillah," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Masjid Noor Aini (Cahaya Mataku), Pasir Hor dekat sini.

Kadar cukai pendapatan individu maksimum dikurangkan lagi daripada 27 peratus kepada 26 peratus berkuatkuasa mulai tahun depan.

Manakala kadar pelepasan diri, dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM9,000.

"Ini bermakna, setiap pembayar cukai akan menikmati peningkatan pendapatan bolehguna sebanyak RM1,000," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan bajet di Parlimen hari ini.

Menurutnya, penambahan pelepasan itu juga akan berkuatkuasa tahun depan.

Di samping itu, kerajaan juga menaikkan kadar pelepasan cukai untuk tujuan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan premium insurans hayat dari RM6,000 sekarang kepada RM7,000 - meningkat RM1,000.

Manakala pembayar cukai individu yang melanggan jalur lebar turut diberi pelepasan sehingga RM500 setahun mulai 2010 hingga 2012.

Menurut perdana menteri, kadar cukai maksimum bagi koperasi juga turut diturunkan kepada 26 peratus, manakala kadar cukai bagi individu pemastautin dikurangkan kepada 26 peratus.

Katanya, bagi menarik lebih ramai bakat dari dalam dan luar negara serta bagi merancakkan lagi pembangunan Wilayah Iskandar

Malaysia, kerajaan mencadangkan satu insentif cukai yang perdana menteri, amat inovatif dan radikal.

Berikutan itu, kerajaan mencadangkan cukai ke atas pendapatan penggajian bagi pekerja berpengetahuan rakyat Malaysia serta asing yang bermastautin dan bekerja di Iskandar Malaysia, dikenakan cukai pada kadar 15 peratus, berbanding dengan kadar maksiumum 26 peratus untuk seluruh negara.

Katanya, mereka yang akan menikmati layanan cukai ini adalah dalam aktiviti yang layak seperti teknologi hijau, bioteknologi,

perkhidmatan pendidikan, penjagaan kesihatan, industri kreatif, khidmat nasihat kewangan dan konsultasi serta perkhidmatan logistik dan pelancongan.

"Mereka mestilah menambah nilai dalam aktiviti yang diceburi.

"Galakan ini ditawarkan kepada mereka yang memohon dan mula bekerja di Iskandar Malaysia sebelum akhir tahun 2015, dan akan menikmati insentif ini secara berterusan.


ISLAMABAD 22 Okt. - Penyerang yang disyaki militan Taliban menembak mati seorang brigadier tentera Pakistan dan pemandunya di sini hari ini, semasa tentera meneruskan operasi besar-besaran memerangi pemberontak tersebut di kubu kuat mereka dekat sempadan Afghanistan.

Memperlihatkan situasi tegang di negara ini, indeks pasaran saham jatuh hampir 3 peratus berikutan laporan palsu bahawa sebutir bom ditemui dan tembakan dilepaskan di sebuah bangunan mahkamah di ibu negara, Islamabad.

Laporan palsu itu tersebar ketika Pakistan terus diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang serangan balas oleh militan Taliban tatkala tentera menyerang kedudukan mereka di wilayah Waziristan Selatan.

Kempen tentera itu menguji keazaman kerajaan untuk membanteras puak militan dan dipantau rapi oleh Amerika Syarikat (AS) serta kuasa lain yang menempatkan askar di Afghanistan.

Dalam keganasan hari ini, kumpulan disyaki militan menembak mati Brigadier Moin Haider yang sedang bercuti di ibu negara daripada tugasnya dalam pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan.

"Serangan itu satu tindakan keganasan yang bertujuan untuk membunuh dan meraih publisiti," kata jurucakap tentera, Mejar Jeneral Athar Abbas.

Haider ialah pegawai tinggi tentera yang kedua dibunuh dalam masa tidak sampai dua minggu selepas puak militan melancarkan serangan ala komando ke atas ibu pejabat tentera di Rawalpindi.

Menurut saksi, seorang lelaki yang menutup mukanya dengan kain kuning kelihatan berlari sebelum kedengaran bunyi tembakan.

"Selepas tembakan itu, penyerang melarikan diri dengan membonceng motosikal yang dipandu oleh seorang lelaki lain," kata saksi.

Tentera Pakistan melancarkan operasi besar-besaran pada Sabtu lalu untuk menguasai Waziristan Selatan selepas Taliban menggegarkan negara ini dengan beberapa serangan bom dan pengebom berani mati yang meragut lebih 150 nyawa.

Penganalisis memberi amaran lebih banyak serangan akan dilancarkan di kawasan bandar apabila puak militan semakin terhimpit di kubu kuat mereka.

Taliban berharap lebih banyak serangan dan pertumpahan darah akan menyebabkan sokongan kerajaan dan rakyat terhadap operasi tentera semakin merosot.

Kelmarin, sekurang-kurangnya empat orang maut apabila dua pengebom berani mati menyerang sebuah universiti Islam di ibu negara, dan pihak berkuasa semalam mengarahkan semua sekolah dan kolej di seluruh negara ditutup. - Reuters

SHAH ALAM, 21 Okt: Pakar forensic dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunan, memberikan keterangan yang mengejutkan dalam inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini apabila berkata, tengkorak kepalanya pecah bukan kerana jatuh tetapi kerana pukulan kuat.

Tanda bulatan merah pada tengkuknya pula bagi beliau adalah akibat dari dicekik dengan menggunakan tangan dan ia adalah kesan jari pada tengkuk mangsa.

Bagi beliau, Beng Hock jatuh ke atas lantai di tingkat bawah tempat mayatnya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Dia juga berkata, kesan luka pada anus (dubur) mangsa juga akibat dari kemasukan objek keras sebelum beliau jatuh.

Berdasarkan kepada perolehan itu, beliau memberikan rumusan bahawa 80 peratus punca kematian Beng Hock adalah kerana dibunuh dan hanya 20 peratus sahaja kerana bunuh diri.

Image Dr Pornthip (gambar) memberikan keterangan dalam inkues Teoh Beng Hock di hadapan Koroner, Azmil Muntapha Abad. Beliau dipanggil sebagai saksi profesional oleh keluarga Teoh Beng Hock.

Teoh Beng Hock ditemui mati selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada 16 Julai lalu, diatas tingkat lima, Plaza Masalam, disini, yang menimbulkan pelbagai persoalan.

Dr Porntip atau lebih dikenali dengan Dr Death mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang ini telah menyiasat lebih 10,000 mayat sepanjang kerjayanya sebagai pakar forensik.

Beliau mendapat pengiktirafan dari seluruh dunia dalam bidang ini.

Beliau yang memeriksa beribu-ribu mayat mangsa tsunami yang melanda Thailand sebelum ini yakin, semangat mereka yang mati itu melindungi dalam menjalankan kerja-kerjanya sebagai pakar pathologi.

Sebagai bekas pesakit kanser yang berjaya melawan penyakit maut itu, Dr Pornthip yang juga pakar DNA, sedang berusaha untuk meningkatkan sains forensik di negaranya.

Operasi gempur militan atas permintaan Amerika


MIR ALI, Pakistan: Pejuang Taliban al-Qaeda bertempur dengan tentera Pakistan semalam ketika askar kerajaan itu cuba memasuki kubu utama kumpulan militan berkenaan berhampiran sempadan Afghanistan semalam, membayangkan usaha menunduk mereka tidak semudah yang dijangkakan.

Operasi di Waziristan Selatan itu menyusuli beberapa permintaan Amerika Syarikat agar Islamabad bertindak tegas terhadap kumpulan militan berkenaan yang baru-baru ini meningkatkan serangan ke atas beberapa sasaran kerajaan Pakistan dan didakwa merancang untuk menyerang sasaran Barat.

Sejak 2004 tentera Pakistan sudah melancar tiga operasi terhadap wilayah berbukit yang dikuasai Taliban itu tetapi gagal menundukkan kumpulan militan berkenaan.

Wartawan dihalang memasuki wilayah barat laut itu, tetapi saksi berkata seramai 30,000 tentera kerajaan terbabit dalam operasi itu bakal berdepan dengan pertempuran lebih sengit berbanding di Lembah Swat, satu lagi wilayah barat laut yang ditawan tentera kerajaan awal tahun ini.

"Kumpulan militan didapati mampu menyekat sebarang pergerakan tentera," kata Ehsan Mahsud, seorang penduduk Makeen, pekan di wilayah Waziristan Selatan yang berhampiran dengan zon pertempuran.

Seorang pegawai risikan berkata pertempuran awal pagi semalam di daerah Sar-waki menyebabkan seorang tentera kerajaan dan tujuh militan terbunuh.

Pada hari pertama operasi berkenaan yang bermula kelmarin lima tentera kerajaan dan 11 militan terbunuh.

Mahsud berkata tentera kerajaan kebanyakannya bergantung kepada sokongan udara dan ledakan artileri terhadap kedudukan militan di tanah tinggi. Helikopter tempur kerajaan tidak lagi digunakan berikutan militan menggunakan mesingan berat bagi mempertahankan kedudukan mereka.

Kumpulan militan didakwa dianggotai 10,000 pejuang tempatan dan 1,500 pejuang asing, kebanyakan mereka dari Asia Tengah.

Taliban dan al-Qaeda menguasai kawasan seluas 3,310 kilometer persegi atau separuh daripada keluasan Waziristan Selatan, di kawasan yang setia dengan ketua Taliban di Paksitan, Baitullah Mehsud, yang terbunuh dalam serangan peluru berpandu Amerika Syarikat Ogos lalu.

Pegawai kerajaan sebelum ini berkata operasi di Waziristan Selatan itu dijangka berlarutan selama dua bulan.

Seorang penduduk di Wana yang dikuasai Taliban berkata militan sudah meninggalkan pekan itu dan bergerak ke pinggirnya bagi menyekat kemaraan tentera kerajaan.

"Semua pejuang Taliban sudah meninggalkan pekan ini dan berkubu di sempadan Mehsud," kata Azamatullah Wazir menerusi telefon semalam. "Tentera kerajaan akan berdepan dengan pertempuran sengit," katanya.

Lebih 150,000 orang awam bertindak melarikan diri dari wilayah berkenaan dalam beberapa bulan lalu selepas kerajaan mengumumkan ia akan melancarkan operasi itu. � AP



HULU TERENGGANU, 17 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa Umno kini sudah lemah dan terpaksa bergantung tongkat.

Katanya, Umno tidak mempunyai kekuatan sendiri sebaliknya bergantung kepada tongkat termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan media untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

"Umno bergantung kepada SPR, menang dengan undi pos dan media yang dipaksa," ujarnya pada sidang media selepas merasmikan Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu kali ke-13 di Markas Tarbiah PAS Kubang Lembik, Manir, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menyatakan demikian ketika diminta mengulas Perhimpunan Agung Umno yang berakhir semalam.

Begitupun, Abdul Hadi menghargai peranan yang dimainkan oleh pengamal media tetapi Umno mengawalnya sehingga tidak berlaku adil kepada pembangkang termasuk PAS.

Ini, katanya menyebabkan banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin PAS tidak disiarkan melalui media atau disiarkan secara tidak lengkap.

"Kenyataan (pemimpin PAS) yang tidak menguntungkan BN, tidak disiarkan. Ini bukan cara demokrasi," ujarnya.

Sumber : harakahdaily

OBAMA berbual dengan Tyren Scott semasa mesyuarat majlis perbandaran di Universiti New Orleans, kelmarin. - AFP

NEW ORLEANS, Lousiana 16 Okt. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menerima soalan mengejut daripada seorang budak lelaki berusia sembilan tahun yang mengajukan pertanyaan: 'Kenapa orang membenci awak?'

Obama yang sebelum ini berhadapan pertikaian politik berhubung pelan pembaharuan penjagaan kesihatan yang beliau kemukakan, telah memanggil kanak-kanak itu, Tyren Scott, dalam satu majlis terbuka sempena lawatan pertamanya sebagai Presiden ke New Orleans yang terjejas teruk akibat taufan.

"Saya terpaksa bertanya, kenapa orang membenci awak? Mereka sepatutnya mengasihi awak. Tuhan sukakan kasih sayang," kata Tyren lagi.

Obama yang kelihatan geli hati dengan soalan itu berkata: "Itulah yang saya cuba katakan. Saya telah dipilih sebagai Presiden, jadi tidak semua orang bencikan saya sekarang... saya mendapat banyak undi.

"Jika kamu menonton televisyen kebelakangan ini, semua orang menjadi marah pada setiap masa. Saya rasa ia adalah asam garam kehidupan. Sebahagian daripadanya adalah apa yang dipanggil politik," ujar Obama.

- AFP

Nazri Abdullah

IPOH, 15 Okt: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat Perak hari ini mengesahkan akan menghadiri sidang DUN yang dijadual 28 Oktober ini.

Bagaimanapun ia bukan atas panggilan Speaker BN, R.Ganesan tetapi berdasarkan notis panggilan dari Speaker Pakatan Rakyat, V.Sivakumar yang diterima mereka hari ini.

Sivakumar dalam satu kenyataan media bertarikh 14 Oktober memberitahu, hanya 49 Adun termasuk dari BN dihantar notis panggilan tersebut.

Manakala Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Ahli Exconya, Zainol Fadzi Paharuddin, Datuk Ramly Zahari, Hamidah Osman, Datuk Saarani Mohamad, Mohd Zahir Abdul Khalid dan Dr Mah Hang Soon telah digantung sebelum ini.

ImagePersidangan kali ini adalah yang Ketiga untuk Penggal Kedua, Dewan Negeri yang ke 12 yang kan diadakan di Dewan Negeri Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam sidang media siang tadi turut mengesahkan kehadiran Adun PR ke persidangan itu nanti.

Kehadiran tersebut katanya adalah berdasarkan panggilan Sivakumar bukannya Ganesan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit gantang juga sekali lagi menegaskan, PR hanya mengiktiraf Sivakumar sebagai speaker yang sah dan menolak Ganesan.

Sehubungan itu mereka turut mendesak Ganesan supaya tidak menganggu persidangan yang akan berlangsung kelak.

Kemelut negeri perak bagaimanapun dilihat makin rumit apabila Ganesan turut mengeluarkan notis panggilan ke sidang Dun untuk tarikh yang sama.

ImageAdun PR sebelum ini memutuskan untuk tidak hadir sidang Dun yang dipanggil Ganesan kerana menganggap beliau speaker tidak sah dan panggilan oleh Ganesan juga adalah tidak sah.

Namun dengan notis panggilan Sivarkumar yang baru diterima, kesemua mereka akan menghadirinya.

Ini bermakna persidangan pada tarikh tersebut akan dikendalikan oleh dua speaker berbeza seperti yang pernah berlaku pada 7 Mei lalu.

Mohammad Nizar ketika mengulas perkara itu memberitahu, PR tiada sebarang niat untuk melakukan huru hara.

Ditanya sama ada insiden persidangan Dun 7 Mei lalu akan berulang, Nizar hanya menjawab "tunggu dan lihat sahaja pada hari itu".
Hadir sama pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Perak siang tadi, ADUN Pantai Remis, Nga Kor Meng, ADUN Titi Serong Drs. Khalil Idham Lim dan ADUN Lubuk Merbau, Haji Zainuddin.

Sumber : Harakah Daily



PEKERJA membina semula masjid di Padang, kelmarin yang rosak teruk akibat gempa bumi 30 September lalu.

Indonesia henti operasi cari mangsa tertimbus akibat gempa di Sumatera

PADANG: Pihak berkuasa Indonesia semalam mengisytiharkan tujuh perkampungan yang musnah teruk akibat tanah runtuh berikutan gempa bumi, sebagai kubur besar selepas operasi mencari lebih 200 penduduk yang tertanam dihentikan.

Keputusan membatalkan operasi mencari di perkampungan yang ditelan bumi berikutan tanah runtuh selepas gempa bumi berukuran 7.6 melanda pulau Sumatera 30 September lalu dibuat hasil rundingan dengan penduduk tempatan, kata ketua polis daerah Padang Pariaman, Uden Kusumawijaya.

Bencana yang turut memusnahkan bandar berhampiran, Padang itu membunuh 809 penduduk, menurut angka kematian rasmi terbaru dikeluarkan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata bencana itu mungkin meragut hingga 1,100 nyawa.

"Ada satu perjanjian untuk menghentikan kerja mencari mangsa yang tertimbus dalam tanah runtuh berikutan gempa bumi itu. Masyarakat setempat menyetujuinya," kata Kusumawijaya kepada pemberita.

"Kawasan tanah runtuh itu disifatkan sebagai kubur bagi mereka yang tertanam," katanya.

Sejumlah 225 penduduk dipercayai tertanam dalam kejadian itu, kata jurucakap daerah Padang Pariaman, Syofrian.

"Sudah pastinya ada sesetengah penduduk tidak bersetuju, tetapi kebanyakan menyatakan persetujuan, jadi kami menghentikan kerja mencari mangsa. Ia sukar untuk mencari mangsa yang masih tertanam," katanya.

Sekurang-kurangnya 100,000 kediaman musnah dalam gempa bumi itu dan seluruh kampung ditimbusi dengan tanah runtuh. Dianggarkan 500,000 penduduk kehilangan tempat tinggal berikutan bencana alam itu. - AFP


Ibu pejabat tentera Pakistan tiba-tiba menjadi medan tempur setelah diserang sekumpulan lelaki berpakaian seragam tentera menggunakan raifal dan bom tangan di sini semalam.

Kejadian sejurus sebelum tengah hari itu menyebabkan empat penyerang mati manakala lapan anggota tentera cedera, kata pihak berkuasa.

Seramai dua daripada penyerang itu berjaya menyusup masuk ke markas tentera setelah kawalan keselamatan bolos, kata seorang pegawai risikan.

Seorang wartawan Associated Press yang membuat liputan melaporkan, dia terdengar sejumlah tembakan dari dalam kawasan kem tentera.

Serangan berani itu merupakan usaha keempat pengganas terhadap kemudahan utama tentera dalam tempoh seminggu setelah Islamabad mengumumkan rancangan serangan terhadap kedudukan utama pengganas di beberapa kawasan di sempadan Afghanistan.

Kejadian itu menunjukkan pergerakan militan masih mampu melancarkan serangan sungguhpun banyak serangan tentera dilancarkan Pakistan sehingga menyaksikan pemimpin Taliban, Baitullah Mehsud terbunuh pada Ogos lalu.

Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Athar Abbas berkata, penyerang berbaju celoreng menaiki sebuah van putih menembak para pengawal di pintu masuk utama sebelum turun dari van dan menyerang pos kawalan kedua.

Kata Athar, para pengawal keliru dan tidak dapat membezakan pengganas dan anggota tentera kerana pakaian mereka sama.

Pengganas kemudian menduduki beberapa tempat sebelum melepaskan tembakan sekali-sekala dan sekurang-kurangnya satu bom tangan meletup.

Serangan 45 minit tersebut menyebabkan para pegawai tinggi tentera terperangkap, kata satu sumber tentera yang enggan dikenali.

Sekurang-kurangnya dua suspek masih berada dalam kem tentera dan operasi masih berterusan, kata Athar.

"Tembakan bertalu-talu dan satu letupan berlaku. Ramai anggota tentera berlari ke sana dan ke sini. Tembakan berlanjutan selama setengah jam. Tembakan kemudian dilepaskan sekali-sekala dan kawasan kem dipenuhi asap," kata seorang saksi, Khan Bahadur. - Agensi

Kampung tertimbus jadi kubur besar

Posted by infoterkini | 5:43 PM | , | 0 comments »

PADANG 7 Okt. - Gabenor Sumatera Barat, Gamawan Fauzi hari ini berkata, kampungkampung yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh berpunca daripada gempa bumi kuat pada minggu lepas mungkin diisytiharkan sebagai kubur besar.

Sehingga 400 orang dipercayai tertanam hidup-hidup apabila lereng-lereng bukit runtuh berikutan gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter pada Rabu lalu.

Angka kematian rasmi akibat gempa bumi Rabu lalu, masih 704 orang tetapi Palang Merah percaya angka terakhir akan melebihi 3,000 kerana ratusan mayat masih terperangkap di bawah runtuhan.

Empat kampung berdekatan di daerah Padang Pariaman ditelan bumi dalam kejadian tersebut.

Menurut Gamawan, kebanyakan mayat mangsa mungkin tidak akan ditemui atau berada dalam keadaan begitu reput sehingga lebih baik untuk membiarkannya dalam keadaan tertimbus.

"Jika selepas sekian banyak hari berlalu mayat itu sudah reput, jika kita menggali tanah, lengannya tertanggal dan kakinya tercabut, itu tidak baik.

"Jika penduduk kampung bersetuju, dari sudut agama adalah tidak mengapa jika mayat tidak dikebumikan semula. Jadi kawasan itu akan diisytiharkan sebagai kubur besar," kata Gamawan kepada wartawan di ibu kota wilayah, Padang.

Sementara itu, agensi-agensi bantuan mengejar masa untuk menghantar bantuan ke kampung-kampung di kawasan pedalaman yang masih terputus hubungan seminggu selepas bencana tersebut.

Kira-kira setengah juta penduduk dipercayai hilang tempat tinggal, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Palang Merah berasaskan angka rasmi rumah musnah iaitu kira-kira 100,000 buah.

Penyelaras bantuan kemanusiaan PBB, Rachel Lavy berkata, tidak ada kekurangan bekalan bantuan dan banyak lagi yang akan sampai dengan kapal-kapal perang Amerika Syarikat (AS) yang dijadual tiba di perairan Sumatera lusa.

Sebuah hospital sementara tentera AS dengan kemampuan untuk merawat 400 orang telah didirikan di tengah Padang dan dijadual mula menerima pesakit hari ini.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Indonesia, Priyadi Kardono berkata, helikopter telah melakukan enam pengguguran bantuan di kampung-kampung terpencil semalam dan lebih banyak penerbangan dijadualkan hari ini.

"Bekalan bantuan mencukupi tetapi kami tetap mengalu-alukan bantuan lagi. Kami mempunyai cukup khemah dan kira-kira 19,000 tan beras yang boleh menampung keperluan selama empat bulan," katanya.

Menurut Lavy, cabaran terbesar ialah pengagihan bantuan terutamanya di kawasan pergunungan.

"Agensi masih melaporkan kawasan di sana sini di mana penduduk mengadu mereka belum menerima sebarang bantuan," katanya.

Tidak ada tanda-tanda wabak penyakit sekalipun bekalan air minum kekurangan dan ratusan mayat reput masih tertimbus di bawah runtuhan.

Pihak berkuasa menyemburkan bahan pembasmi kuman ke atas runtuhan bangunan yang diketahui terdapat mayat terperangkap.

Gamawan menafikan ada kawasan yang belum menerima bantuan dan menyalahkan pihak berkuasa tempatan sebagai punca kelewatan.

"Di mana pengagihan bantuan tersekat? Jika tersekat, kemungkinan (ia berlaku) antara pihak berkuasa daerah dengan penduduk.

"Bayangkanlah, jika 100,000 rumah runtuh, itu bermakna 500,000 orang hilang tempat tinggal. Jika ada enam atau 10 orang yang tidak berpuas hati, janganlah menjadikannya tajuk berita," kata beliau.

Gabenor itu berkata, pihaknya menjaga kebajikan 500,000 penduduk dalam masa sangat singkat. - AFP


TELUK KEMANG – Sebuah laman blog milik UMNO telah menyiarkan beberapa fakta menarik yang didakwa laman tersebut, perlu diberi perhatian oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang. Fakta- Fakta tersebut adalah sebagaimana disenaraikan dibawah;

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita11/IMG_3653.JPG









1. 13 peniaga di Port Dickson dikatakan kecewa diarahkan keluar kerana gerai perniagaan mereka akan dirobohkan oleh MPPD untuk dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan baru bagi keselesaan pelancongan.

2. 16 buah pantai di Port Dickson yang menganjur dari km 3 hingga km 21, terutama Pantai Teluk Kemang, Pantai Saujana dan Pantai Blue Lagoon dikatakan terhad untuk orang awam. Dilaporkan bahawa ketiadaan laluan dan papan tanda ke pantai berkenaan disebabkan kawasan pantai tersebut dipagari oleh banglo-banglo persendirian dan swasta serta rangkaian hotel yang seolah-olah menjadi hak milik persendirian walaupun pantai telah diiktiraf sebagai harta awam di bawah undang-undang.

3. Pantai Port Dickson dikatakan kotor yang menyebabkan para pelancong dan orang tempatan geli geleman hendak ke pantai. Dikhabarkan juga banyak saluran paip kumbahan tidak terawat disalurkan terus ke pantai.

4. Kerajaan dikatakan tidak menghargai jasa tentera kerana penyerahan tugas Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Abd Aziz Zainal kepada Panglima Angkatan Tentera yang baru tidak dilakukan mengikut kebiasaan tradisi ATM. Tiada acara perpisahan rasmi untuk bekas Panglima Angkatan Tentera tersebut.

5. Dilaporkan pihak tentera harus perkudakan UMNO dan PAS untuk kepentingan ATM demi pertahanan negara dan nasib para perajurit.

6. Lebuhraya Seremban-Port Dickson dikatakan tidak berdaya maju serta R&R di laluan berkenaan dikatakan terbiar dan secara tidak langsung telah memberikan imej buruk kepada Port Dickson.

7. Isu perumahan terbengkalai di Bagan Pinang yang melibatkan:-

Taman Crystal Bersatu, Port Dickson
Pemaju : Maju Properties Sdn. Bhd.

Taman Anggerik, Pekan Si Rusa , Port Dickson
Pemaju : Smart Project Sdn. Bhd.

Green View Resort Homes, Port Dickson
Pemaju : Eurodec Development Const.
Sdn. Bhd.

8. Projek menaik taraf jalan Port Dickson ke Pasir Panjang dikatakan telah lama terbiar dan terbengkalai.

9. Turut dilaporkan ada keluarga yang melarat di Bagan Pinang dengan pendapatan hanya RM20 sehari.

10. Elaun RM500 untuk guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) Negeri Sembilan dikatakan terlalu sedikit.

11. Dilaporkan penduduk Negeri Sembilan sering terputus bekalan air terutama semasa musim perayaan disebabkan kelemahan pengurusan pihak Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

Sumber : Buletin Online

Jenazah misteri kejutkan tiga penggali kubur

KANGAR: Tiga penggali kubur tergamam menemui mayat dipercayai berusia lebih 30 tahun dalam keadaan elok dan sempurna, ketika menggali liang lahad untuk tujuan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Tok Paduka, di sini, semalam.

Mayat lelaki tidak dikenali itu ditemui jam 11.30 pagi sebaik ketiga-tiga penggali kubur berkenaan menggali liang lahad terbabit pada kedalaman 1.5 meter.

Berdasarkan maklumat, mayat lelaki itu bukan saja masih elok dari segi fizikal, malah kain kafan jenazah juga masih sempurna, kecuali sedikit kotor akibat diselaputi lumpur.

Bagaimanapun, kayu keranda yang digunakan untuk melindungi mayat sudah reput dimamah usia.

Penggali kubur, Desa Sulaiman, 74, berkata penemuan jenazah itu mengejutkan kerana sepanjang pengetahuannya liang lahad yang digali itu memang kosong.

Katanya, keadaan jenazah itu tidak berbau dan masih sempurna dengan kulit serta isi yang terlekat pada tubuh jarang dilihat, apatah lagi dengan usia jenazah yang dipercayai mencecah puluhan tahun.

"Saya 30 tahun menggali kubur di sini, tetapi tidak pernah menemui kejadian sedemikian, walaupun pernah mendengar cerita mengenainya sebelum ini.

"Sepanjang pengetahuan saya, mayat yang masih elok dan sempurna walaupun berusia ratusan tahun kebiasaannya milik orang alim kerana jenazah mereka dilindungi Tuhan berikutan amalan baik yang dilakukan sepanjang hayat," katanya.

Difahamkan, penemuan mayat itu menyebabkan urusan pengebumian jenazah seorang wanita berusia 53 tahun yang dijadualkan sebelum Zuhur, ditangguhkan beberapa jam untuk memberi laluan kepada urusan pengebumian semula jenazah yang ditemui itu.

Desa dan dua lagi rakannya terpaksa menguruskan pengebumian semula jenazah terbabit di sebelah liang lahad yang digali, sebelum meneruskan urusan penggalian liang lahad baru untuk pengebumian jenazah wanita yang baru meninggal itu.

Rakannya, Mohd Hafiz Abdan, 20, berkata beliau tergamam melihat wajah serta tubuh mayat yang masih elok seperti baru meninggal dunia ketika mengangkat mayat terbabit untuk dialihkan ke liang lahad baru.

"Saya sempat melihat keadaan susuk tubuh mayat berkenaan yang berkulit sawo matang, namun tidak berani menatapnya terlalu lama.

"Apa pun, penemuan mayat berkenaan bagi saya suatu misteri kerana jarang dilihat walaupun oleh penggali kubur," katanya.


TELOK KEMANG, 29 Sept:"Kami mahu Isa. Kalau tak kami BOIKOT". Demikian kain rentang yang masih dapat dilihat di beberapa kawasan Batu 6 Teluk Kemang, di sini.

Dipercayai kain rentang itu dibuat sendiri oleh penyokong tegar bekas Menteri Besar, Tan Seri Mohd Isa Abdul Samad.

Kain rentang itu juga dikatakan sebagai isyarat awal kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bahawa akar umbi bertegas mahukan Isa.

Ini kerana Najib dijadualkan mengumumkan calon pilihan Umno BN petang ini.

Bersebelahan rumah kampung Isa, Balai Raya Si Rusa yang dijadikan bilik gerakan Umno kelihatan tidak dihiasi sebarang bendera dan kain rentang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Umno Telok Kemang, Datuk Ismail Taib berkata, dia telah mengarahkan budak-budaknya menurunkan kain-kain rentang berkenaan.

Image(Gambar: Salah satu kain rentang yang dinaikkan di Bagan Pinang)

"Ini kerja orang gila,"kata beliau sebagaimana dilaporkan The Malaysian Insider.

Ekoran itu, kain rentang protes yang sama mula diturunkan di sekitar kampung halaman Isa, Kampung Baru Si Rusa, sejak pagi tadi.

Suasana hambar di situ, seolah-olah menggambarkan Umno tempatan boikot pilihan raya jika Isa tidak terpilih sebagai calon.

Beberapa perkembangan terkini menjangkakan Umno masih berdepan pergelutan kuasa dalaman dalam Umno, walaupun Umno berjaya menampilkan seorang calon yang bersih. - mks.

Sumber : Harakahdaily

HARI ini mungkin hari bersejarah untuk penduduk Port Dickson apabila Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak menjejakkan kakinya ke pusat perlancongan antarabangsa itu.

Sebelum ini, Najib pernah ke sana. Namun, ketika itu nasibnya kurang baik. Beliau pun bukan lagi Perdana Menteri ketika itu.

Namun, beliau bernasib baik kerana mempunyai seorang rakan baik di sana iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu, Tan Sri Isa Abdul Samad. Dan masalahnya ketika itu berjaya di selesaikan.

Hari ini, Najib turun ke Port Dickson sebagai seorang Perdana Menteri. Beliau mendapat sambutan permaidani merah di sana.

Beliau menyertai para pemimpin Umno dan BN yang lain dalam majlis rumah terbuka BN di sana.

Dan hari ini juga, timbalan beliau, Tan Sri Muhyidin Yassin, mengumumkan Isa sebagai calon Umno Bagan Pinang. Walaupun mendapat tentangan dan bantahan secara terbuka dari bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, ia tidak dihiraukan oleh Najib.

Pelbagai andaian dibuat kenapa Umno pimpinan Najib sanggup meletakkan Isa sebagai calon walaupun mendapat bantahan demi bantahan.

Yang paling ketara adalah pendapat bahawa Najib sangat memerlukan kemenangan yang besar dalam pilihan raya kecil ini selepas kalah dalam tujuh pilihanraya kecil sebelum ini.

Isa adalah taruhan utama untuk kemenangan ini. Ini kerana, golongan bawahan sangat-sangat mahukan Isa kembali ke persada utama politik tanah air selepas dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin Umno kerana membeli undi dan merasuah perwakilan Umno.

Pemilihan ini bermakna Najib menolak pandangan, memilih Isa membolehkan Umno menang di Bagan Pinang tetapi akan mengalahkan Umno di seluruh negara.

Turut dijadikan sebab mengapa Isa dipilih adalah kempen-kempen yang dibuat di Bagan Pinang termasuk menaikkan kain rentang ugutan agar Umno memilih Isa sebagai calon.

Kain rentang itu berbunyi "Kami mahu Datuk Isa. Kalau tidak kami boikot'. Kain rentang ini dinaikkan di merata tempat dalam kawasan pilihan raya ini hatta di kampung Isa sendiri.

Namun, bagi pihak yang nakal, punca utama kenapa Isa dipilih sebagai calon adalah kerana peristiwa lama di Port Dickson itu.

Najib sanggup melawan Tun Dr Mahathir, orang yang memberikan tekanan kepada Tun Abdullah Badawi agar meletakkan jawatan dan melantik Najib sebagai PM.

Najib juga sanggup berbeza pendapat dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin, yang secara sindiran menolak Isa sebagai calon.

Dan mungkin ini adalah pertama kali, Mahathir mempunyai pendapat yang sama dengan anggota Parlimen Rembau itu iaitu menolak Isa sebagai calon, selepas sekian lama mereka berbeza pendapat.

Sekurang-kurangnya, pilihan raya kecil Bagan Pinang menyatukan Mahathir dan Khairy, selepas sekian lama Mahathir memukul menantu Tun Abdullah itu.

Sumber - Harakahdaily

Kerajaan mungkin menggantikan Proton Perdana V6 Executive dengan kereta mewah yang diimport sebagai kereta rasmi.

The Malaysian Insider memetik berita ini daripada sumber dalaman kerajaan, bahawa kerajaan mengambil keputusan untuk menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang lama, dengan kereta mewah yang diimport. Keputusan ini dibuat memandangkan pengeluaran model Perdana V6 bakal dihentikan pada tahun depan.

Sekali imbas, pemimpin BN pernah menyelar kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor dan Perak kerana “tidak patriotik”, ekoran daripada keputusan untuk menukarkan kereta nasional dengan Toyota Camry sebagai kereta rasmi kerajaan. Malah, setelah rampasan kuasa, Menteri Besar Perak, Zambry Abdul Kadir melelongkan segera Toyota Camry yang belum genap tiga bulan digunakan kerajaan PR.

Keputusan menggunakan kereta import mewah sebagai kereta rasmi kerajaan seumpama meludah ke langit. Seandainya apa yang dilaporkan The Malaysian Insider itu benar, maka keputusan sedemikian memberi tamparan yang sengit buat kerajaan Najib.

Kontrak bernilai RM80 juta setahun

Sebagaimana yang diketahui, kereta import mewah tersebut termasuklah Mercedes Benz S class, BMW 5 series, Toyota Camry dan sebagainya. Kerajaan akan memajakkan kereta ini dari syarikat swasta, Spanco Sdn Bhd untuk tempoh empat tahun.

Spanco Sdn Bhd adalah salah satu “produk” projek penswastaan, menawarkan perkhidmatan pajakan dan pembaikan kereta untuk kerajaan. Perjanjian konsesi untuk tempoh 25 tahun ini (sehingga tahun 2018) bernilai RM80 juta setahun.

Menurut sumber dalaman kerajaan tersebut, bayaran pajakan kereta baru adalah lebih rendah, maka akan mengurangkan kos pada peringkat awal (initial cost). Namun, Spanco Sdn Bhd boleh mempertingkatkan kadar bayaran perkhidmatan pengendalian kemudiannya, dan ia mungkin mengakibatkan matlamat kerajaan untuk berjimat tidak kesampaian.

Sementara itu, The Malaysian Insider memetik dari sumber dalaman kerajaan, bahawa hakim telah memutuskan untuk menggunakan kereta Mercedes Benz. Kereta tersebut telah mula dipasang di kilang dalam kawasan Parlimen Najib, Pekan.

Keputusan ini mencungkil dua kontradiksi yang nyata. Pertamanya, wakil rakyat BN pernah membidas keputusan kerajaan PR negeri Selangor dan Perak untuk menukarkan Perdana V6 kepada Toyata Camry sebagai tindakan yang tidak patriotik. Kerajaan negeri BN Terengganu turut berdepan dengan bantahan apabila memutuskan untuk membeli 14 buah kereta Mercedes Benz untuk menggantikan Perdana V6.

Spanco Sdn Bhd pernah dipertikai

Keduanya, pada tahun 2004, Kementerian Kewangan telah melantik syarikat perunding pengurusan bebas Tetuan Coopers & Lybrand untuk mengkajian perjanjian konsesi Spanco Sdn Bhd ini, kerana “bayaran harga yang terlalu tinggi” dikenakan terhadap kerajaan.

Menurut laporan Malay Mail, setelah dikaji semula, nilai perjanjian konsesi ini telah dikurangkan dari RM100 juta setahun kepada RM80 juta setahun. Kementerian Kewangan membuat keputusan untuk mengkaji semula program penswastaan ini setelah TPM ketika itu, Najib menyatakan bahawa “kerajaan akan mengkaji semula perjanjian konsesi yang tidak adil”.

Malah, Najib pernah berkata bahawa kerajaan tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. Oleh sebab itu, sekiranya kerajaan yang diterajui Najib memutuskan untuk”menggantikan Perdana V6 dengan kereta import”, maka langkah ini seolah-olah menampar muka sendiri.

Pada hakikatnya, pertikaian terhadap Spanco Sdn Bhd pernah diungkit dalam parlimen pada tahun 1998. Menurut Penyata Rasmi Parlimen ke-9, penggal keempat yang bertarikh 25 November 1998, Timbalan Menteri Kewangan ketika itu Wong See Wah pernah memberi perjelasan mengapa Spanco Sdn Bhd diberikan perjanjian konsesi tersebut.

Kebetulannya, Kementerian Kewangan juga melantik Tetuan Coopers & Lybrand untuk mengkaji program penswastaan tersebut. Bekas ahli parlimen, Nungsari bin Ahmad Radhi ketika itu mempertikai mengapa kerajaan melantik Tetuan Coopers & Lybrand untuk membuat penilaian selepas program itu dijalankan, dan bukan sebelumnya.

1998: Projek pajak kereta

Kerajaan mula memajakkan kereta dari syarikat Spanco Sdn.Bhd dan tidak lagi membeli kereta untuk pegawai tinggi dalam kerajaan pada tahun 1994. Namun, bekas PM Mahathir Mohamad memberhentikan program penswastaan ini selepas kemelut ekonomi tahun 1997. Pada tahun 1998, program ini diberi nafas baru atas alasan “mengkaji semula keperluan program penswastaan”.

Spanco Sdn Bhd dikuasai Tan Hua Choon, usahawan Cina yang terkemuka. Tan yang amat rapat dengan bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin (gambar di kiri), dilihat sebagai usahawan yang bangkit dengan dorongan kuasa politik pada zaman Mahathir. Hubungan antara Tan dengan Daim memberi lampu hijau kepadanya untuk menguasai beberapa sumber negara, termasuk saham beberapa syarikat tersenarai.

Selain anak Tan Hua Choon, Tan Han Chuan dan Tan Ching Ching, Lembaga Pengarah Spanco Sdn Bhd terdiri daripada Osman bin Mohd Daim, Abdul Rashid Harun, Hamzah Mohamad Salleh dan lain-lain. Hamzah Mohamad Salleh ialah Ketua Pegawai Eksekutif Spanco, sementara Osman bin Mohd Daim dan Abdul Rashid Harun sebagai rakan sepakat Tan Hua Choon dalam dunia perniagaan.

Sumber: Merdeka Review