Buletin Terkini

ISLAMABAD 22 Okt. - Penyerang yang disyaki militan Taliban menembak mati seorang brigadier tentera Pakistan dan pemandunya di sini hari ini, semasa tentera meneruskan operasi besar-besaran memerangi pemberontak tersebut di kubu kuat mereka dekat sempadan Afghanistan.

Memperlihatkan situasi tegang di negara ini, indeks pasaran saham jatuh hampir 3 peratus berikutan laporan palsu bahawa sebutir bom ditemui dan tembakan dilepaskan di sebuah bangunan mahkamah di ibu negara, Islamabad.

Laporan palsu itu tersebar ketika Pakistan terus diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang serangan balas oleh militan Taliban tatkala tentera menyerang kedudukan mereka di wilayah Waziristan Selatan.

Kempen tentera itu menguji keazaman kerajaan untuk membanteras puak militan dan dipantau rapi oleh Amerika Syarikat (AS) serta kuasa lain yang menempatkan askar di Afghanistan.

Dalam keganasan hari ini, kumpulan disyaki militan menembak mati Brigadier Moin Haider yang sedang bercuti di ibu negara daripada tugasnya dalam pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan.

"Serangan itu satu tindakan keganasan yang bertujuan untuk membunuh dan meraih publisiti," kata jurucakap tentera, Mejar Jeneral Athar Abbas.

Haider ialah pegawai tinggi tentera yang kedua dibunuh dalam masa tidak sampai dua minggu selepas puak militan melancarkan serangan ala komando ke atas ibu pejabat tentera di Rawalpindi.

Menurut saksi, seorang lelaki yang menutup mukanya dengan kain kuning kelihatan berlari sebelum kedengaran bunyi tembakan.

"Selepas tembakan itu, penyerang melarikan diri dengan membonceng motosikal yang dipandu oleh seorang lelaki lain," kata saksi.

Tentera Pakistan melancarkan operasi besar-besaran pada Sabtu lalu untuk menguasai Waziristan Selatan selepas Taliban menggegarkan negara ini dengan beberapa serangan bom dan pengebom berani mati yang meragut lebih 150 nyawa.

Penganalisis memberi amaran lebih banyak serangan akan dilancarkan di kawasan bandar apabila puak militan semakin terhimpit di kubu kuat mereka.

Taliban berharap lebih banyak serangan dan pertumpahan darah akan menyebabkan sokongan kerajaan dan rakyat terhadap operasi tentera semakin merosot.

Kelmarin, sekurang-kurangnya empat orang maut apabila dua pengebom berani mati menyerang sebuah universiti Islam di ibu negara, dan pihak berkuasa semalam mengarahkan semua sekolah dan kolej di seluruh negara ditutup. - Reuters

0 comments