Buletin Terkini


Ibu pejabat tentera Pakistan tiba-tiba menjadi medan tempur setelah diserang sekumpulan lelaki berpakaian seragam tentera menggunakan raifal dan bom tangan di sini semalam.

Kejadian sejurus sebelum tengah hari itu menyebabkan empat penyerang mati manakala lapan anggota tentera cedera, kata pihak berkuasa.

Seramai dua daripada penyerang itu berjaya menyusup masuk ke markas tentera setelah kawalan keselamatan bolos, kata seorang pegawai risikan.

Seorang wartawan Associated Press yang membuat liputan melaporkan, dia terdengar sejumlah tembakan dari dalam kawasan kem tentera.

Serangan berani itu merupakan usaha keempat pengganas terhadap kemudahan utama tentera dalam tempoh seminggu setelah Islamabad mengumumkan rancangan serangan terhadap kedudukan utama pengganas di beberapa kawasan di sempadan Afghanistan.

Kejadian itu menunjukkan pergerakan militan masih mampu melancarkan serangan sungguhpun banyak serangan tentera dilancarkan Pakistan sehingga menyaksikan pemimpin Taliban, Baitullah Mehsud terbunuh pada Ogos lalu.

Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Athar Abbas berkata, penyerang berbaju celoreng menaiki sebuah van putih menembak para pengawal di pintu masuk utama sebelum turun dari van dan menyerang pos kawalan kedua.

Kata Athar, para pengawal keliru dan tidak dapat membezakan pengganas dan anggota tentera kerana pakaian mereka sama.

Pengganas kemudian menduduki beberapa tempat sebelum melepaskan tembakan sekali-sekala dan sekurang-kurangnya satu bom tangan meletup.

Serangan 45 minit tersebut menyebabkan para pegawai tinggi tentera terperangkap, kata satu sumber tentera yang enggan dikenali.

Sekurang-kurangnya dua suspek masih berada dalam kem tentera dan operasi masih berterusan, kata Athar.

"Tembakan bertalu-talu dan satu letupan berlaku. Ramai anggota tentera berlari ke sana dan ke sini. Tembakan berlanjutan selama setengah jam. Tembakan kemudian dilepaskan sekali-sekala dan kawasan kem dipenuhi asap," kata seorang saksi, Khan Bahadur. - Agensi

0 comments