Buletin Terkini

Operasi gempur militan atas permintaan Amerika


MIR ALI, Pakistan: Pejuang Taliban al-Qaeda bertempur dengan tentera Pakistan semalam ketika askar kerajaan itu cuba memasuki kubu utama kumpulan militan berkenaan berhampiran sempadan Afghanistan semalam, membayangkan usaha menunduk mereka tidak semudah yang dijangkakan.

Operasi di Waziristan Selatan itu menyusuli beberapa permintaan Amerika Syarikat agar Islamabad bertindak tegas terhadap kumpulan militan berkenaan yang baru-baru ini meningkatkan serangan ke atas beberapa sasaran kerajaan Pakistan dan didakwa merancang untuk menyerang sasaran Barat.

Sejak 2004 tentera Pakistan sudah melancar tiga operasi terhadap wilayah berbukit yang dikuasai Taliban itu tetapi gagal menundukkan kumpulan militan berkenaan.

Wartawan dihalang memasuki wilayah barat laut itu, tetapi saksi berkata seramai 30,000 tentera kerajaan terbabit dalam operasi itu bakal berdepan dengan pertempuran lebih sengit berbanding di Lembah Swat, satu lagi wilayah barat laut yang ditawan tentera kerajaan awal tahun ini.

"Kumpulan militan didapati mampu menyekat sebarang pergerakan tentera," kata Ehsan Mahsud, seorang penduduk Makeen, pekan di wilayah Waziristan Selatan yang berhampiran dengan zon pertempuran.

Seorang pegawai risikan berkata pertempuran awal pagi semalam di daerah Sar-waki menyebabkan seorang tentera kerajaan dan tujuh militan terbunuh.

Pada hari pertama operasi berkenaan yang bermula kelmarin lima tentera kerajaan dan 11 militan terbunuh.

Mahsud berkata tentera kerajaan kebanyakannya bergantung kepada sokongan udara dan ledakan artileri terhadap kedudukan militan di tanah tinggi. Helikopter tempur kerajaan tidak lagi digunakan berikutan militan menggunakan mesingan berat bagi mempertahankan kedudukan mereka.

Kumpulan militan didakwa dianggotai 10,000 pejuang tempatan dan 1,500 pejuang asing, kebanyakan mereka dari Asia Tengah.

Taliban dan al-Qaeda menguasai kawasan seluas 3,310 kilometer persegi atau separuh daripada keluasan Waziristan Selatan, di kawasan yang setia dengan ketua Taliban di Paksitan, Baitullah Mehsud, yang terbunuh dalam serangan peluru berpandu Amerika Syarikat Ogos lalu.

Pegawai kerajaan sebelum ini berkata operasi di Waziristan Selatan itu dijangka berlarutan selama dua bulan.

Seorang penduduk di Wana yang dikuasai Taliban berkata militan sudah meninggalkan pekan itu dan bergerak ke pinggirnya bagi menyekat kemaraan tentera kerajaan.

"Semua pejuang Taliban sudah meninggalkan pekan ini dan berkubu di sempadan Mehsud," kata Azamatullah Wazir menerusi telefon semalam. "Tentera kerajaan akan berdepan dengan pertempuran sengit," katanya.

Lebih 150,000 orang awam bertindak melarikan diri dari wilayah berkenaan dalam beberapa bulan lalu selepas kerajaan mengumumkan ia akan melancarkan operasi itu. � AP


0 comments