Buletin Terkini



PEKERJA membina semula masjid di Padang, kelmarin yang rosak teruk akibat gempa bumi 30 September lalu.

Indonesia henti operasi cari mangsa tertimbus akibat gempa di Sumatera

PADANG: Pihak berkuasa Indonesia semalam mengisytiharkan tujuh perkampungan yang musnah teruk akibat tanah runtuh berikutan gempa bumi, sebagai kubur besar selepas operasi mencari lebih 200 penduduk yang tertanam dihentikan.

Keputusan membatalkan operasi mencari di perkampungan yang ditelan bumi berikutan tanah runtuh selepas gempa bumi berukuran 7.6 melanda pulau Sumatera 30 September lalu dibuat hasil rundingan dengan penduduk tempatan, kata ketua polis daerah Padang Pariaman, Uden Kusumawijaya.

Bencana yang turut memusnahkan bandar berhampiran, Padang itu membunuh 809 penduduk, menurut angka kematian rasmi terbaru dikeluarkan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata bencana itu mungkin meragut hingga 1,100 nyawa.

"Ada satu perjanjian untuk menghentikan kerja mencari mangsa yang tertimbus dalam tanah runtuh berikutan gempa bumi itu. Masyarakat setempat menyetujuinya," kata Kusumawijaya kepada pemberita.

"Kawasan tanah runtuh itu disifatkan sebagai kubur bagi mereka yang tertanam," katanya.

Sejumlah 225 penduduk dipercayai tertanam dalam kejadian itu, kata jurucakap daerah Padang Pariaman, Syofrian.

"Sudah pastinya ada sesetengah penduduk tidak bersetuju, tetapi kebanyakan menyatakan persetujuan, jadi kami menghentikan kerja mencari mangsa. Ia sukar untuk mencari mangsa yang masih tertanam," katanya.

Sekurang-kurangnya 100,000 kediaman musnah dalam gempa bumi itu dan seluruh kampung ditimbusi dengan tanah runtuh. Dianggarkan 500,000 penduduk kehilangan tempat tinggal berikutan bencana alam itu. - AFP

0 comments