Buletin Terkini

Kampung tertimbus jadi kubur besar

Posted by infoterkini | 5:43 PM | , | 0 comments »

PADANG 7 Okt. - Gabenor Sumatera Barat, Gamawan Fauzi hari ini berkata, kampungkampung yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh berpunca daripada gempa bumi kuat pada minggu lepas mungkin diisytiharkan sebagai kubur besar.

Sehingga 400 orang dipercayai tertanam hidup-hidup apabila lereng-lereng bukit runtuh berikutan gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter pada Rabu lalu.

Angka kematian rasmi akibat gempa bumi Rabu lalu, masih 704 orang tetapi Palang Merah percaya angka terakhir akan melebihi 3,000 kerana ratusan mayat masih terperangkap di bawah runtuhan.

Empat kampung berdekatan di daerah Padang Pariaman ditelan bumi dalam kejadian tersebut.

Menurut Gamawan, kebanyakan mayat mangsa mungkin tidak akan ditemui atau berada dalam keadaan begitu reput sehingga lebih baik untuk membiarkannya dalam keadaan tertimbus.

"Jika selepas sekian banyak hari berlalu mayat itu sudah reput, jika kita menggali tanah, lengannya tertanggal dan kakinya tercabut, itu tidak baik.

"Jika penduduk kampung bersetuju, dari sudut agama adalah tidak mengapa jika mayat tidak dikebumikan semula. Jadi kawasan itu akan diisytiharkan sebagai kubur besar," kata Gamawan kepada wartawan di ibu kota wilayah, Padang.

Sementara itu, agensi-agensi bantuan mengejar masa untuk menghantar bantuan ke kampung-kampung di kawasan pedalaman yang masih terputus hubungan seminggu selepas bencana tersebut.

Kira-kira setengah juta penduduk dipercayai hilang tempat tinggal, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Palang Merah berasaskan angka rasmi rumah musnah iaitu kira-kira 100,000 buah.

Penyelaras bantuan kemanusiaan PBB, Rachel Lavy berkata, tidak ada kekurangan bekalan bantuan dan banyak lagi yang akan sampai dengan kapal-kapal perang Amerika Syarikat (AS) yang dijadual tiba di perairan Sumatera lusa.

Sebuah hospital sementara tentera AS dengan kemampuan untuk merawat 400 orang telah didirikan di tengah Padang dan dijadual mula menerima pesakit hari ini.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Indonesia, Priyadi Kardono berkata, helikopter telah melakukan enam pengguguran bantuan di kampung-kampung terpencil semalam dan lebih banyak penerbangan dijadualkan hari ini.

"Bekalan bantuan mencukupi tetapi kami tetap mengalu-alukan bantuan lagi. Kami mempunyai cukup khemah dan kira-kira 19,000 tan beras yang boleh menampung keperluan selama empat bulan," katanya.

Menurut Lavy, cabaran terbesar ialah pengagihan bantuan terutamanya di kawasan pergunungan.

"Agensi masih melaporkan kawasan di sana sini di mana penduduk mengadu mereka belum menerima sebarang bantuan," katanya.

Tidak ada tanda-tanda wabak penyakit sekalipun bekalan air minum kekurangan dan ratusan mayat reput masih tertimbus di bawah runtuhan.

Pihak berkuasa menyemburkan bahan pembasmi kuman ke atas runtuhan bangunan yang diketahui terdapat mayat terperangkap.

Gamawan menafikan ada kawasan yang belum menerima bantuan dan menyalahkan pihak berkuasa tempatan sebagai punca kelewatan.

"Di mana pengagihan bantuan tersekat? Jika tersekat, kemungkinan (ia berlaku) antara pihak berkuasa daerah dengan penduduk.

"Bayangkanlah, jika 100,000 rumah runtuh, itu bermakna 500,000 orang hilang tempat tinggal. Jika ada enam atau 10 orang yang tidak berpuas hati, janganlah menjadikannya tajuk berita," kata beliau.

Gabenor itu berkata, pihaknya menjaga kebajikan 500,000 penduduk dalam masa sangat singkat. - AFP


0 comments